Berakhirlah Kisah Peti Ais
Syukur aku ke hadrat Ilahi kerana apa yang aku nantikan semenjak 3 bulan lalu berakhir dengan kegembiraan yang tidak terkata.
Pada hari Rabu bersamaan 17 Disember 2009, jam menunjukkan pukul 2.45 petang. Tiba-tiba satu panggilan oleh nombor yang tidak dikenali menghubungi telefon bimbit aku. Aku menjawab panggilan itu dan kemudiannya berasa sedikit pelik kerana ditanya sama ada aku berada di rumah ataupun tidak. Aku bertanyakan semula kepada lelaki yang memanggilku itu, “Ni dari mana ye?“. Lelaki itu membalas, “Saya dari pihak LG, nak hantar fridge (peti ais) kat rumah abang lah. Abang ada kat rumah tak ni?“.
Aku terus bersungguh-sungguh menjawab segala persoalan yang diajukan oleh lelaki yang sedang bercakap dengan aku di dalam telefon itu. Beliau berkata pada petang itu juga pihaknya akan menghantar peti ais LG yang dimenangi oleh aku beberapa bulan yang lalu.
Pada jam 6 petang, aku menerima sebuah lagi panggilan yang tidak diketahui nombornya. “Hello ini Aiman ke? Saya dah sampai jalan masuk Kampung Selamat la bang.. Boleh tahu mana satu rumah abang tak?“, kata seorang lelaki India yang begitu fasih berbahasa Melayu. Kemudian aku memintanya tunggu di jalan masuk ke kawasan rumah aku kerana aku akan menunjukkan jalan kepadanya.
Aku begitu takjub kerana lelaki berkenaan memandu sebuah lori yang boleh dikatakan besar. Tambahan lagi, ketika hendak mendaki bukit di kawasan rumah aku, beberapa cubaan dilakukan oleh pemandu atau kelindan berbangsa India itu. Akhirnya selepas 10 minit barulah lorinya dapat menaiki bukit di rumah aku. Lelaki berkenaan memberi beberapa helaian kertas untuk disemak oleh aku. Isi kandungan kertas itu adalah berkenaan dengan penghantaran yang dilakukannya. Beliau meminta aku untuk menandatangani surat pengesahan penghantaran.
Kemudiannya, lelaki itu menurunkan sebuah kotak yang sangat besar seorang diri. Aku begitu kagum dengan kekuatannya. Al-maklumlah, peti ais berkenaan sangat besar. Bayangkanlah ketinggiannya seperti pintu rumah, cuma kurang beberapa inci sahaja. Aku sudah seperti beruk termakan cili. Terus aku mencapai telefon bimbit dan menelefon emak aku yang sedang bercuti di Port Dickson bersama kakak aku.
“Mak, peti ais dah sampai! Memang besar…“, aku bersemangat menceritakan perihal ini kepada emak aku.
Aku tidak membuka langsung kotak peti ais berkenaan kerana emak masih belum pulang. Sehinggalah hari Jumaat lepas, selepas emak pulang dari Port Dickson lebih kurang pukul 2 petang, bermulalah sesi memunggah isi kandungan peti ais lama untuk dimasukkan ke dalam peti ais yang baru ini. Memang pada petang itu, semua yang terdapat di dalam rumah aku ini membantu emak untuk mengemas peti ais dan juga dapur.
Sampai di sini dahulu cerita mengenai peti ais ini. Terima kasih kepada pihak The Star Publications dan juga LG kerana bertungkus-lumus menunaikan janji mereka.



Recent Comments